Ketika menggunakan Windows XP, ia mungkin tiba -tiba lumpuh, terhenti atau diganggu oleh skrin warna biru. Gangguan ini merupakan ralat terhenti yang dipanggil Blue Screen of Death (BSOD) atau Stop Error. Pada skrin tersebut juga, lazimnya anda dapat melihat penjelasan teknikal berkaitan masalah yang mungkin dihadapi. Sebagai pengguna, anda juga perlu tahu beberapa puncanya seperti yang tersenarai di bawah ini. Ralat perisian ketika operasi Windows. Perisian atau driver peranti yang dipasang dalam PC mungkin memiliki ralat atau masalah yang menyebabkan ralat terhenti, secara tetap atau dalam keadaan tertentu.
* Ralat perkakasan semasa Windows beroperasi.
Jika peranti gagal berfungsi atau ditanggalkan ketika Windows beroperasi, atau perkakasan tidak menyokong sepenuhnya Windows XP, maka ralat terhenti bagi perkakasan akan berlaku. Selain itu, maklumat BIOS yang sudah lapuk mungkin juga puncanya.
* Ralat pemasangan.
Proses pemasangan Windows XP merupakan tempoh yang paling sensitif terhadap masalah ralat perkakasan dan cakera. Jika ada masalah yang melibatkan konfigurasi perkakasan PC atau media yang digunakan untuk memasang Windows XP, maka ralat terhenti mungkin akan berlaku.
* Ralat ketika Windows dimulakan.
Fail sistem rosak dan ralat perkakasan atau driver, semuanya boleh menyebabkan Windows XP memaparkan ralat terhenti dan gagal dibutkan dengan betul. Masalah ralat seperti ini lazimnya perlu ditangani terlebih dahulu sebelum Windows boleh dimuatkan dengan betul.
* Ralat secara berselang seli.
Ralat terhenti jenis ini adalah yang paling tidak digemari, kerana ia muncul secara tetap dan kadangkala secara rawak. Besar kemungkinan puncanya ialah kecacatan pada memori sistem, pemproses yang terlalu panas, pemacu keras rosak atau kerosakan perisian atau driver peranti.
* Ralat DLL yang tidak serasi.
Windows memuatkan DLL ke dalam memori apabila ia diperlukan oleh sesebuah aplikasi. Jika versinya berubah, maka di lain ketika aplikasi memuatkan DLL ini, ia mungkin berbeza daripada apa yang dijangka oleh aplikasi tersebut. Masalah ini juga boleh menyebabkan ralat.
Menangani masalah BSOD : Sungguhpun Windows XP dianggap lebih stabil berbanding Windows sebelumnya, namun ralat tetap ada. Contohnya, masalah tidak serasi meningkat dari masa ke semasa apabila semakin banyak perisian-perisian baru dipasang pada sistem. Ini adalah satu sebab utama kenapa Windows yang baru dipasang lebih stabil daripada Windows yang sudah lama digunakan. Punca lain ialah masalah memori, driver dan lain-lain lagi.
Jika ia melibatkan driver kad grafik yang sudah lapuk, ia perlulah dikemas kini. Selepas memindah terima driver baru, butkan sistem ke dalam safe mode beberapa kali. Arahkan PC masuk ke dalam mod tersebut dengan menekan kunci F5 beberapa kali apabila muncul paparan Starting Windows. Safe mode ini akan menghalang PC dari mengakses komponen yang terdedah kepada kerosakan seperti rangkaian dan video.
Jika anda tidak boleh menghasilkan ralat dalam safe mode, maka driver peranti mungkin punca sebenarnya. Dengan mematikan satu komponen pada satu masa dan menguji sehingga anda pasti peranti manakah yang menyebabkan kegagalan, anda sepatutnya boleh menjejak kembali ralat tersebut. Jika tugas penyiasatan ini tidak berhasil juga, atau jika ralat masih ada, anda boleh mula melihat pada RAM dan pengurusan memori.
Disebabkan ada pelbagai kemungkinan berlakunya kelumpuhan dan ralat terhenti, maka adalah sukar untuk Windows menampilkan set arahan yang lengkap untuk setiap kemungkinan BSOD. Sesetengah tapak web dalam internet ada menyenaraikan ralat terhenti yang dikenal pasti dan beberapa penyelesaian sesuai. Anda yang berminat boleh merujuknya untuk mencari penyelesaian. Gunakan enjian carian untuk menjejakinya.